Sunday, May 12, 2013

Bila Allah Datang Memanggil



“Wa lan yu’akhkhiral-laahu nafsan ‘ithaa jaaa’ a ‘ajaluhaa; wallahu khabeerum bimaa ta’ maloon.”

“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuannya mengenai segala yang kamu kerjakan.”

Al-Munafiqun (63:11)

Setiap yang hidup akan mati dan ajal maut terletaknya di tangan Allah. Kita manusia harus sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian sebab kita tidak akan diberi amaran terlebih dahulu akan ketibaannya.

Saya ingin berkongsi pengalaman yang benar-benar terjadi dalam hidup saya berkenaan dengan topik ajal maut.  Niat saya berkongsi pengalaman saya ini sebagai peringatan untuk diri saya dan semua pembaca blog ini bahawa kewujudan kita di dunia ini adalah sementara. Kita di dunia ini semuanya dalam perjalanan menuju ke satu destinasi: iaitu akhirat, yang kekal abadi. Oleh kerana kewujudan kita di bumi adalah sementara, harta benda kita yang kita telah bekerja bertungkus-lumus untuk mengumpul, juga sementara. Apabila sudah tiba masanya untuk kembali ke Pencipta kita, kita tinggalkan harta benda dan orang-orang yang dikasihi dan yang boleh menyelamatkan kita dari azab api neraka adalah  amalan baik kita, ketaatan kita kepada perintah Allah dan doa anak yang soleh.

“Rabbana aatina fiddunya hasanah, wafil aakhiroti hasanah, waaqina athaban naar.”

“Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka”. 

Al-Baqarah (2:201)


Pengalaman yang ingin saya kongsi melibatkan arwah suami saya.  Kira-kira 2 bulan sebelum arwah suami saya meninggal dunia, Allahyarham mendapat “panggilan” dari Allah bahawa sudah tiba masanya untuk beliau melaksanakan rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan fardu Haji.  Panggilan ini datangnya selepas solat subuh ketika beliau membaca doa.  Panggilan ini datang dalam bentuk keinginan yang teramat sangat hendak pergi ke Makkah untuk melaksanakan Haji.   Dengan izin Allah yang Maha Mengasihani, walaupun beliau tidak mendaftar untuk menunaikan Haji, terdapat pembatalan di saat-saat akhir oleh seorang lelaki berusia kerana keuzuran dan Allahyarham mendapat tempat untuk ke Makkah.

Allahyarham bernasib baik kerana ada seorang hamba Allah di tempat kerjanya yang membuat kerja sambilan sebagai "Sheikh Haji".  Sheikh Haji inilah yang membimbing Allahyarham tentang cara-cara memakai Ihram, doa-doa yang wajib dibaca dan cara-cara mengerjakan Haji.   Ini semua dilakukan dalam tempoh yang sangat singkat dan dengan tergesa-gesa.

Allahyarham berlepas ke Makkah dalam penerbangan pada 30hb Jun, 1989 dan selamat pulang ke tanah air pada penghujung bulan Julai 1989.  Beberapa hari selepas beliau pulang ke Malaysia dari Makkah, kami bertiga beranak telah bercuti selama satu minggu di Bali di mana beliau mengambil bahagian dalam satu kejohanan payung terjun antarabangsa.

Setelah kembali dari Bali, beliau mengambil bahagian dalam raptai pertunjukan payung terjun untuk pembukaan Sukan SEA XV, yang diadakan di Stadium Merdeka.  Raptai itu diadakan pada 13hb Ogos 1989 ... kira-kira 3 minggu selepas Allahyarham menunaikan haji. Pada hari itulah terjadi musibah yang meragut nyawa Allahyarham.

Allahyarham telah berlanggar dengan seorang lagi penerjun semasa membuat pertunjukan di udara.  Kedua-dua payung terjun berjaya dibuka tetapi apabila berlaku pelanggaran, kedua-dua payung mereka terbelit menyebabkan payung mereka kuncup semula. Kedua-dua mereka jatuh menjunam ke tanah di saksikan oleh beribu-ribu penonton di Stadium Merdeka.  Mereka jatuh di Bulatan Edinburgh  (di hadapan Dewan Bahasa & Pustaka) berhampiran dengan Stadium Merdeka.

Allahyarham yang jatuh dahulu dan beliau dihempap oleh penerjun yang kedua.  Allahyarham mati di tempat kejadian manakala penerjun kedua berada dalam koma selama 5 hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.   Kedua-dua mereka meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

 Allahyarham telah dikebumikan pada 14hb Ogos, 1989; iaitu pada hari lahir anak tunggalnya Mohamed Nasser.  Beliau dikebumikan 44 hari dari tarikh dia menaiki kapal terbang ke Makkah. Sebagai orang Islam, kita percaya bahawa 100 hari sebelum seseorang meninggal dunia, telah berlaku berbagai-bagai perubahan pada dirinya dan saya telah nampak perubahan yang berlaku kepada Allahyarham selepas beliau pulang dari menunaikan fardu Haji.  Begitu juga rakan-rakan sepejabatnya. Beliau menjadi pendiam, banyak bermenung dan dia juga memberitahu saya bahawa akan terjadi banyak perubahan dalam kehidupan kami berdua.

Ketika di Makkah, beliau menulis surat kepada saya pada hari lahir ke-47 beliau (7hb Julai 1989) dan surat itu sebenarnya merupakan surat perpisahan dari beliau. Surat itu hanya tiba selepas beliau meninggal dunia dan saya masih menyimpan surat itu walaupun 24 tahun telah berlalu. Dalam surat itu, dia meminta saya untuk memberitahu anak saya (Mohamed Nasser) yang pada masa itu berumur 4 tahun, bahawa dia telah mendoakannya dan berharap bahawa Nasser akan membesar menjadi anak yang baik.

Dari segi keagamaan, Allahyarham boleh dikategorikan dalam golongan yang lalai pada usia mudanya….seperti juga saya dan, mungkin juga ramai pembaca di luar sana.  Sebagai orang Islam, kita telah dididik dari kecil untuk membaca al-Quran, melakukan solat, berpuasa pada bulan Ramadhan, membayar zakat dan menunaikan haji apabila mampu. Beliau tidak pernah tinggalkan puasa dan membayar zakat tetapi tidak selalu menepati solat lima waktu pada usia mudanya.

 Saya mengaku saya juga termasuk dalam kategori ini…ada sahaja perkara duniawi yang hendak dilakukan dan kita terlalu sibuk mengejar perkara keduniaan sehingga terlupa bahawa Dia (Allah) sentiasa bermurah hati memberi kita rezeki tapi kita melupakanNya.  Alhamdullillah, pada pertengahan usianya, Allahyarham mendekati dirinya dengan Allah.

Allah itu Maha Pengasih dan Maha Pengampun.  Dia sentiasa memberi peluang kepada kita untuk bertaubat walaupun kita selalu lalai.  Tetapi, bukan semua orang akan bernasib baik mendapat hidayah daripada Allah sebelum menemui ajal; seperti Allahyarham.  Saya amat bersyukur bahawa dia sempat menyempurnakan ibadah Haji sebelum kembali menemui Allah dan saya sentiasa mendoakan bahawa amalannya diterima Allah.

Allah amat menyayangi umatnya dan sentiasa mahu mengampunkan dosa-dosa yang kecil-kecilan yang dilakukan oleh umatnya.  Bagaimanakah Allah mengampuni dosa-dosa kecil kita?  Dia menguji kita dengan berbagai-bagai-bagai dugaan hidup: yang sihat menjadi sakit, yang kaya menjadi miskin dan inilah hidayah yang diturunkanNya agar kita sedar dan kembali ke jalan Allah.

Bagi diri saya, hidayah dari Allah datang apabila saya hampir maut akibat “septisemia” (keracunan darah) yang disebabkan oleh pembedahan di mana doktor bedah telah membuat kesilapan. Pada suatu malam ketika sembahyang tahajud di hospital, saya memejamkan mata lalu berdoa dengan air mata mencurah-curah agar cepat sembuh.  Tiba-tiba, dalam kepala saya, saya "ternampak" cahaya yang terang-benderang; bukan terang seperti cahaya lampu tapi lebih menjurus kepada cahaya kilauan intan permata.  Di saat itu juga, keinginan hati ini untuk mengerjakan Haji terasa meluap-luap – rasanya macam hendak pergi ke Makkah pada keesokan hari.  Alhamdullillah, dengan keizinanNya, saya berjaya mengerjakan Haji lima bulan selepas keluar dari hospital.  Saya juga dapat mengerjakan Umrah dua kali dalam tiga tahun selepas menunaikan Haji.

Kematian kita telah ditentukan pada hari kita dilahirkan – mati akan datang pada tepat masanya.  Ia tidak akan datang sesaat lebih awal dan tidak boleh ditunda walau sesaat pun. Tujuan kita di muka bumi adalah untuk membuat persiapan untuk akhirat dan pada masa yang sama, tidak mengabaikan keperluan duniawi. Jadi, kita harus sentiasa bersedia untuk kembali kepada Pencipta kita kerana kita tidak tahu bila akan tibanya giliran kita. 

Saya berharap perkongsian pengalaman saya ini dapat membawa kesedaran kepada pembaca-pembaca yang budiman.  Bukan niat saya hendak riak kerana saya telah mendapat hidayah; hanya mahu mengingatkan kita semua bahawa masa kita di dunia ini mungkin terhad; jadi janganlah lalai seperti saya pada suatu masa dahulu.

No comments: